PETALING JAYA: Pemain skuasy wanita No. 1 Malaysia, S. Sivasangari berjaya mara ke final keduanya pada kejohanan bertaraf Gold, namun, lawan yang bakal ditentangnya adalah bintang No. 1 dunia, Nouran Gohar pada Piala Grasshopper 2025 di Zurich Hauptbahnhof, Switzerland, hari ini.
Pada separuh akhir, semalam, Sivasangari yang merupakan pemain No. 11 dunia mengetepikan bintang No. 6 dunia, Tinne Gilis dari Belgium 13-11, 7-11, 11-8, 15-13 dalam masa 53 minit.
Kejayaan itu membawa kepada pertemuan Sivasangari dengan jaguh Mesir tersebut buat kali keempat, tetapi, anak jati Sungai Petani, Kedah itu belum pernah walaupun sekali mengatasi Noran dalam tiga pertembungan lalu.
Nouran pula mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan wakil England, Georgina Kennedy 11-2, 8-11, 11-5, 11-1 dalam masa 35 minit.
Ketika di temu bual selepas perlawanan berakhir, Sivasangari berkata, pertarungan dengan Gilis sangat sengit dan dia melakukan kesilapan yang tidak seharusnya dibuat sewaktu berada di mata akhir.
“Saya melakukan kesilapan bodoh, mujur pada pengakhirannya saya berjaya mengawal perasaan gemuruh dan mengekalkan sikap positif.
“Hari ini (semalam), keseluruhan pasukan saya memberikan sokongan, saya berterima kasih di atas bantuan itu, mereka memastikan saya terus berjuang dan saya gembira mara ke perlawanan akhir,” katanya.
Tahun lalu, pemain berusia 26 tahun itu melakar kemenangan sensasi pada Kejohanan Klasik London yang bertaraf Gold dalam Jelajah Dunia PSA di mana dia menumbangkan dua jaguh Mesir iaitu Nour El Sherbini dan Hania El Hammamy sebelum merangkul gelaran.
Sementara itu, dalam satu lagi kejohanan skuasy yang berlangsung di Amerika Syarikat, awal pagi ini, dua wakil Malaysia, Ng Eain Yow dan Rachel Arnold mara ke final selepas menundukkan lawan masing-masing pada separuh akhir Terbuka Skuasy On Fire di Washington.
Bintang No. 10 dunia, Eain Yow tidak berdepan masalah melakar kemenangan straight set ke atas Kareem El Torkey dari Mesir 11-5, 11-4, 11-6 dalam masa 35 minit.
Rachel pula yang merupakan pemain ke-20 dunia mencipta kejutan ke atas jaguh No. 8 dunia dari Mesir, Rowan Elaraby 3-11, 11-6, 12-10, 6-11, 11-7 dalam masa 51 minit.
Pada perlawanan akhir yang dijangka bermula pukul 4 pagi esok, Eain Yow dan Rachel masing-masing akan berdepan Marwan Elshorbagy dari England serta wakil tuan rumah, Amanda Sobhy. – UTUSAN