KUALA LUMPUR: Selebriti dan pempengaruh popular, Leona tidak menolak untuk bekerjasama dengan ahli keluarganya jika mereka diberi peluang untuk mempunyai sebuah rancangan realiti sendiri.
Bagi Leona atau nama sebenarnya Kasih Iris Leona, peluang seperti itu tidak wajar dilepaskan selain yakin ia pasti dapat menghiburkan penonton dan pengikut mereka.
“Rancangan realiti keluarga? Mengapa tidak bukan. Sudah tentulah saya mahu kalau diberi peluang itu. Saya pula seorang yang memang sayangkan keluarga saya, tapi saya tak tahulah kalau kerja dengan mereka (keluarga) ini kami akan bergaduh atau tidak.
“Tapi saya rasa ia biasa kalau keluarga bergaduh. Saya tetap mahu lakukannya bersama mereka, harap-harap ada produksi yang mahu lakukan sebuah rancangan untuk kami sekeluarga,” ujarnya.
Selain itu, kata Leona, dia juga yakin sekiranya rancangan realitinya itu diwujudkan, dia membayangkan ia akan diisi dengan paparan berbeza mengenai keluarganya.
Jelas Leona, ramai yang melihat keluarganya tidak kelihatan seperti keluarga yang boleh melakukan aktiviti lasak atau adventurous namun itu sebenarnya adalah satu sisi menarik yang patut diketengahkan kepada umum.
“Kami sekeluarga tiada rupa yang menampakkan kami ini keluarga yang adventure, dan saya rasa ia satu sisi yang perlu ditonjolkan.
“Kalau ada program, saya nak mereka campak kami dalam hutan untuk kami survive sebab ayah saya dia seorang yang kreatif, kami adik beradik pernah menyertai pengakap dan ibu saya pandu puteri jadi saya ia akan jadi satu rancangan yang sangat menarik,” katanya.
Untuk info, Leona merupakan anak ketiga kepada pasangan Azhar Sulaiman dan Chempaka Emalin Pahamin.
Leona juga mempunyai pasangan kembar bernama Andika Rees Pahamin serta seorang kakak, Kasih Leia Ixora.-UTUSAN