KUALA LUMPUR : Keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan diambil semula Khamis ini di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, keterangan beliau diambil semula bagi meneruskan rakaman percakapan berhubung pengistiharan harta yang sudah dibuat sebelum ini.
“Proses rakaman percakapan kali ini berkaitan harta yang diisytiharkan sebelum ini mengikut Seksyen 36 (1) Akta SPRM 2009,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, World Trade Centre (WTC) di sini hari ini.
Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri sudah menghantar kepada maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lepas.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Sebelum ini, SPRM telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.-UTUSAN
HABIS