ALOR SETAR: Golongan petani kecewa dengan keputusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan harga benih padi sah (BPS) pada kadar RM52 bagi borong dan RM56 untuk runcit.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, penurunan sebanyak RM2 itu juga tidak berbaloi dengan kenaikan RM30 oleh pengilang sebelum ini.
“Petani kecewa kerana penurunan yang dibuat oleh pihak kementerian hanya RM2 sahaja. Kalau ikut rekod kita lihat sejak 2021 pengilang menaikkan harga BPS ini sebanyak tiga kali dengan purata kenaikan sebanyak RM10.
“Jadi tidak adil kepada kami apabila kerajaan hanya kurang untuk harga jualan di peringkat pemborong di pintu kilang hanya RM2 dan juga harga runcit juga RM2. Jadi di sini kami rasa tidak seimbang,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan bersama petani di Kampung Alor Belat di sini hari ini.
Tambah beliau, berbanding dengan pengilang yang menerima pelbagai insentif dan subsidi kerajaan sewajarnya memberi pertimbangan yang sama kepada petani.
“Kita melihat kepada insentif ataupun subsidi yang kerajaan beri kepada pengilang memperuntukkan hampir RM100 juta setahun bukannya kepada petani untuk mengeluarkan BPS.
“Jadi di sini kita lihat apabila harga RM54 di pintu kilang berkuatkuasa hari ini. Bila kita campur dengan RM20.60 iaitu insentif BPS yang diberikan kerajaan kepada mereka berjumlah RM74.60, satu kadar yang sangat tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru agar kerajaan mempertimbangkan semula supaya harga BPS dikembalikan kepada harga sebelum ini supaya petani tidak terbeban dengan kos input pertanian.
“Sepatutnya harga BPS tidak melebihi RM45 yang kita cadangkan sebelum ini iaitu kadar sebelum harga belian padi ditetapkan RM1,800. Kenaikan tiga kali melibatkan RM30 dan penurunan baru RM2, kita rasa ini perlu dirombak balik supaya seimbang harga ini,” jelasnya.
Tambahnya, PeSAWAH juga berharap kementerian mengadakan libat urus dengan pihaknya sebelum menetapkan harga yang relevan dengan situasi semasa termasuk kos yang ditanggung petani ketika ini.
“Kalau harga RM58 di pasaran, ada petani yang terpaksa beli sampai RM65 hingga RM70 di mana kita persoalkan daripad sudut penguatkuasaan sangat lemah walaupun berkali-kali kita membuat aduan.
“Contohnya, di peringkat pengilangan kita nak membuktikan perkara itu di pihak kawal selia sendiri untuk menunjukkan resit. Malangnya tidak dikeluarkan resit,” ujarnya.
Katanya, bebanan kos yang ditanggung oleh petani ketika ini meningkat kepada RM5,500 bagi setiap hektar selepas pelarasan harga diesel. – UTUSAN