PETALING JAYA: Perebutan jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kini menjadi perhatian selepas Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengekalkan kerusi No. 1 badan induk tersebut.
Jawatan itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) yang juga Naib Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad dan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz dalam sesi pemilihan pada hari ini.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli tidak menafikan daripada segi pengalaman dalam sukan ia nyata berpihak kepada Nur Azmi namun kelebihan Awalan di bidang korporat perlu diambil kira.
“Nur Azmi ada potensi yang baik berdasarkan pengalamannya dalam sukan negara malah beliau juga pernah bergelar atlet dan dengan rekod yang dimilikinya beliau ada kelebihan.
“Berbanding Awalan yang menerajui PLBM, sukan yang tak popular dan hanya disertai oleh negara komanwel. Namun, Awalan juga ada kelebihan daripada segi kepimpinan dalam kalangan ahli korporat.
“Namun, MOM bukan hanya mengenai sukan semata-mata tetapi mereka perlu bijak merencana bagi menjana pendapatan. Ahli gabungan perlu bijak untuk menilai setiap calon sebelum membuang undi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pekan tidak menganggap Nur Azmi sebagai calon pilihan walaupun sebelum ini beliau memainkan peranan penting ketika mengetuai kontinjen negara di Sukan SEA 2021 di Vietnam yang menyaksikan Malaysia meraih 39 pingat emas, 45 perak dan 89 gangsa, menduduki tangga keenam keseluruhan.
Untuk rekod, Nur Azmi turut mengetuai kelab bola sepak Melaka FC sehingga muncul juara Liga A1 Semi Pro musim 2024/2025 dan layak ke Liga Super musim depan.
“Satu persaingan yang menarik kerana Nur Azmi ada kekuatan tetapi Awalan boleh jadi calon pilihan. Pada akhirnya, ahli gabungan perlu fikir prospek calon yang berkaliber, berpengalaman dan berintegriti tinggi,” katanya.-UTUSAN