Nilai dan pilih calon terbaik barisi kepimpinan MOM-PBJM

Nilai dan pilih calon terbaik barisi kepimpinan MOM-PBJM

PEREBUTAN jawatan timbalan presiden bagi penggal 2025-2029 akan menjadi tumpuan pada pemilihan Majlis Olimpik Malaysia, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) menyeru semua ahli gabungan memilih calon terbaik, berpengalaman dan telah membuktikan kemampuannya dalam sukan negara bagi membarisi kepimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal bagi penggal 2025-2029.

Presiden PBJM, Alwiyah Talib menegaskan keputusan memilih individu yang tepat adalah sangat penting bagi memastikan persatuan-persatuan sukan turut mendapat manfaat.

Jelasnya, jika melantik individu tiada pengalaman sukan, ia mungkin memberi kesan terhadap pengurusan MOM bagi tempoh jangka panjang ekoran perlu menyesuaikan diri terlebih dahulu.

“Pendapat saya secara peribadi, individu yang perlu dipilih ahli gabungan perlulah memiliki pengalaman yang luas dalam arena sukan negara, selain kemampuannya telah dibuktikan dengan membawa pelbagai kejayaan sewaktu memimpin mana-mana persatuan sukan sebelum ini.

“Selain itu, beliau mesti seorang yang boleh membawa suara ahli gabungan ke peringkat tertinggi dan mesti juga ‘friendly’ (peramah) dan tidak ‘arrogant’ (sombong),” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jawatan Presiden MOM bagaimanapun kekal menjadi milik Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bagi penggal 2025-2029 apabila menang tanpa bertanding selepas tidak dicabar untuk kerusi tersebut.

“Pertamanya, Tahniah di atas kemenangan Tan Sri Norza menang tanpa bertanding. Ini menunjukkan keyakinan persatuan-persatuan di atas kredibiliti beliau. PBJM berharap Tan Sri akan terus dapat membantu persatuan-persatuan terutamanya bola jaring untuk terus cemerlang sehingga ke peringkat dunia,” jelasnya.

Pemilihan badan induk itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang akan berlangsung Sabtu ini menyaksikan tumpuan utama pada pemilihan kali ini adalah perebutan kerusi timbalan presiden antara Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad dan Presiden Persatuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz.

Menurut Alwiyah, kedua-dua calon berkenaan memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing untuk menjadi individu No.2 dalam MOM serta membantu Norza dalam menerajui badan induk berkenaan.

“Kedua-dua calon memang cukup dikenali dengan kehebatan masing-masing. Datuk Azmi memegang jawatan naib presiden MOM dan presiden Karate.

“Manakala Datuk Awalan sebagai presiden boling padang. Saya rasa persatuan-persatuan lebih tahu siapa yang mereka yakin dapat membantu Tan Sri membawa MOM ke arah yang lebih cemerlang dan mampu bekerja untuk sukan negara,” jelas Alwiyah.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), Mohd. Afendy Abdullah menegaskan MOM perlu diterajui individu-individu yang bebas daripada pengaruh politik.

Beliau juga berharap untuk melihat lebih ramai individu sukan berada dalam barisan kepimpinan MOM pada penggal kali ini.

Katanya, jika melantik individu tiada pengalaman sukan, ia mungkin memberi kesan terhadap pengurusan badan induk itu untuk tempoh jangka panjang kerana perlu menyesuaikan diri.

“Pada pandangan peribadi, MOM perlu diterajui oleh orang yang memiliki banyak ilmu serta pengetahuan sukan. Kalau tukar orang baharu (luar sukan), mungkin perlukan masa dua hingga tiga tahun untuk belajar.

“Kita juga tidak suka kalau ada pengaruh politik dalam MOM. Bagi saya, memang kita tidak perlukan pengaruh politik untuk terlibat dengan sukan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN