JEDDAH: Bos Williams, James Vowles memberi amaran kepada bekas majikannya, Mercedes agar tidak mengejar juara dunia Formula 1 (F1) bertahan, Max Verstappen.
Prestasi hambar Red Bull dalam Grand Prix (GP) Bahrain menyaksikan Verstappen hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat keenam dan masalah pasukan itu dengan jentera RB21 telah mencetuskan spekulasi bahawa pelumba Belanda itu mungkin mempertimbangkan untuk berpindah pasukan.
Aston Martin pernah disebut sebagai calon pasukan baharu buat Verstappen, tetapi bos Mercedes, Toto Wolff, selama ini berhati-hati untuk mendekatinya.
Ini kerana Wolff terlepas peluang menandatanganinya ketika Verstappen masih remaja sebelum membuat penampilan sulung bersama Toro Rosso pada 2015.
Namun, Vowles memberi amaran bahawa walaupun Verstappen memiliki bakat yang luar biasa, dia mungkin bukan calon yang sesuai dengan budaya pasukan Mercedes.
“Saya rasa Max masih boleh menambah prestasi lagi. Saya rasa tiada siapa di dalam bilik ini akan menafikan bahawa dia sangat luar biasa dengan apa yang mampu dia lakukan, dan perlumbaan di Jepun sangat menakjubkan bagi saya.
“Tahniah kepadanya, tetapi dia juga datang dengan banyak kekurangan yang perlu kita akui dan saya rasa apa yang Mercedes miliki adalah budaya pasukan yang kukuh.
“Dua pemandu kami yang memberikan prestasi hampir ke tahap maksimum kereta, dan seorang lagi yang sedang meningkat naik. Jadi, secara peribadi saya rasa itu bukan tempat yang sesuai untuknya,” katanya. – AGENSI