Kurangkan pelajar ke AS

Kurangkan pelajar ke AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuota di bawah tajaan dan biasiswa kerajaan serta agensi lain untuk pelajar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) perlu dikurangkan buat sementara waktu.

Langkah tersebut perlu dibuat selepas pembatalan visa lebih 600 pelajar antarabangsa, pensyarah dan penyelidik dari sekurang-kurangnya 90 universiti di negara berkenaan.

Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah berkata, pengurangan kuota pada kadar tertentu yang bersifat sementara itu juga wajar sebagai persediaan terhadap sebarang perubahan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

BORHAN DOLLAH

Katanya, kerajaan sebaliknya perlu menambah kuota ke negara lain seperti Jerman dan Perancis menerusi dasar tersebut.

“Paling penting, kita tidak mahu masalah lain berlaku kepada pelajar nanti apabila sudah berada di AS, seandainya berlaku pembatalan visa. Apatah lagi jika tempoh pengajian mereka yang hampir tamat.

“Justeru adalah lebih baik kerajaan tambah kuota pelajar untuk ke negara lain. Dasar ini secara tidak langsung dapat teroka peluang baharu di negara lain yang turut mempunyai kepakaran dalam bidang sama sebagaimana ditawar AS,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hampir 7,000 pelajar Malaysia berada di AS direkodkan tiga tahun lalu menerusi data terakhir yang dikemas kini Kementerian Pengajian Tinggi pada 2020.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 826 orang merupakan pelajar tajaan manakala 6,084 lagi di bawah tanggungan persendirian.

Lebih 600 pelajar antarabangsa, pensyarah dan penyelidik dari sekurang-kurangnya 90 universiti di seluruh AS kehilangan visa mereka selepas tindakan pembatalan oleh pentadbiran Trump.

Perkara itu didedahkan menerusi semakan CNN terhadap dokumen mahkamah, kenyataan peguam serta pengumuman institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Setakat ini, belum jelas sama ada semua individu yang terlibat perlu segera meninggalkan AS atau dibenarkan untuk mengikuti pengajian mereka.

Jabatan Negara AS tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai proses pembatalan visa tersebut, namun menyifatkan situasi itu sebagai dinamik dan masih berjalan.

Dalam pada itu, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, Malaysia perlu mengambil pendekatan tunggu dan lihat tanpa memberi sebarang reaksi kepada tindakan berkenaan.

“Kita tidak perlu membuat apa-apa pengumuman atau tindak balas dan senarai hitamkan AS sebagai destinasi pengajian tinggi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN