JOHOR BAHRU: Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei sedia menerapkan ‘winning mentality’ dalam jiwa atlet generasi muda negeri ini selepas diumumkan sebagai Duta Sukan Johor.
Menurutnya, pengalaman selama 26 tahun sebagai atlet akan dimanfaatkan sebaik-baiknya dalam membantu Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) melahirkan atlet pelalis tanah air.
“Pengalaman naik turun kerjaya seperti roller coaster akan saya turunkan kepada atlet muda ini, saya juga mahu terapkan kepentingan disiplin untuk berjaya.
“Walaupun latar belakang saya adalah sukan badminton, namun saya akan turunkan ilmu kepada atlet pelbagai sukan, saya percaya mampu melakukan perkara tersebut dalam membawa arena sukan Johor ke tahap lebih tinggi,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian dengan MSNJ di Hotel Thistle, di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah dan Pengarah MSNJ, Ekmaluddin Ishak.
Chong Wei memberitahu menerima panggilan telefon daripada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada pagi sambutan Tahun Baharu Cina lalu memaklumkan tentang kerjasama tersebut.
“Datuk Onn Hafiz telefon pada pukul 8 pagi, tetapi saya masih tidur kerana hari raya. Jadi, saya telefon beliau semula pada pukul 9 pagi. Kami sudah kenal kira-kira 20 tahun.
“Apabila beliau suarakan berhubung kerjasama ini, saya terus kata ‘okay’. Saya sedia curah bakti kepada atlet-atlet muda di Johor,” katanya sambil mengakui akan lebih kerap berada di negeri ini pada masa depan.
Ekmaluddin pula yakin pengalaman dan komitmen dimiliki legenda sukan tanah air tersebut mampu dimanfaatkan MSNJ menerusi sesi latihan, program bimbingan serta pembangunan di peringkat akar umbi.
“Lebih utama, Datuk Lee Chong Wei bukan sahaja mampu melahirkan atlet yang terbaik di peringkat dunia, tetapi juga melahirkan individu dengan sikap yang baik,” katanya.
Pada 4 April lalu, MSNJ turut menandatangani legenda ragbi New Zealand All Blacks, Sonny Bill Williams selaku Duta Sukan Johor. – UTUSAN