KUALA LUMPUR: Kira-kira 5,000 warga Tentera Darat Malaysia (TDM) dan veteran memeriahkan sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri Peringkat Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.
Majlis yang berkonsepkan ‘Tentera Darat Bersama Rakyat’ itu dimeriahkan dengan sambutan unik mengumpulkan identiti semua divisyen TDM.
Gimik perasmian dimulakan dengan tarian kuda kepang dan pertunjukan video montaj Panglima Tentera Darat Jeneral, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, menyantuni anggota di beberapa lokasi operasi di seluruh negara.
Selain itu, anak-anak keluarga TDM yang hadir turut disantuni dengan penyampaian duit raya pada majlis yang penuh ceria itu.
Pada majlis itu juga warga TDM dipertonton rakaman ucapan Aidilfitri dari warga TDM yang berada di perbatasan tanah air dan yang berada di luar negara serta nyanyian dari artis tempatan.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan mantan panglima ATM dan Tentera Darat.