KUALA KRAI: Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan lebih satu jam akibat tersepit selepas kenderaan yang dipandunya itu merempuh sebuah bas ekspres di jalan Ladang Rakyat, Lebuhraya Gua Musang di sini, tengah malam tadi.
Difahamkan, kejadian sekitar 12.30 tengah malam itu berlaku selepas bas tersebut telah brek secara mengejut selepas melihat pokok tumbang di laluan berkenaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan I, Razani Mamat berkata, setiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati kemalangan itu melibatkan dua buah lori lapan tan dan sebuah bas ekspres.
“Kejadian itu berlaku selepas bas ekspres berkenaan telah membrek secara mengejut kerana terdapat pokok tumbang. Situasi itu menyebabkan dua buah lori yang berada di belakang telah melanggar bas tersebut.
“Mangsa Mohd. Fazly Ahmad,38, yang tersepit hampir sejam berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebaik pihak bomba tiba dan telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.-UTUSAN