PUTRAJAYA: “Insya-Allah, saya berkata benar dan tiada apa yang tidak benar di bulan Ramadan.”
Itu keterangan oleh bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari 2009 hingga 2016, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin sebelum dilepaskan daripada kandang saksi selaku saksi pembelaan ke-12.
Che Lodin berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Terdahulu, bekas pengerusi itu menjelaskan keadaan sebenar sepanjang beliau memegang jawatan itu di 1MDB selepas menggantikan Tan Sri Mohd. Bakke Salleh yang meletakkan jawatan pada 2009.
Ujarnya, sepanjang tempoh tersebut, tiada kaedah pengurusan top down approach yang diamalkan dalam syarikat berkenaan bagi mengarahkan Lembaga Pengarah untuk akur dengan kehendak Najib.
“Sebagai contoh, dalam pengambilalihan syarikat pembekal tenaga, Tanjong Energy Holdings Sdn. Bhd., idea itu dicetuskan oleh juruperunding sebelum diluluskan oleh pemegang saham (Najib),”katanya.
Sementara itu, saksi pembelaan ke-11, bekas pegawai polis, Senior Asisten Komisioner (SAC), R. Rajagopal yang dipanggil bagi menyambung semula keterangan memberitahu, siasatan terhadap Najib bermula selepas bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan berhubung skandal penyelewengan itu.
Pada 2015, Khairuddin telah membuat dua laporan polis berkaitan 1MDB menyerahkan semua bukti yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal tersebut kepada pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern.
Khairuddin yang ditemani peguamnya, Matthias Chang turut membuat laporan polis mengenai 1MDB di Singapura, Perancis dan Hong Kong.
Khairuddin dan Matthia kemudian didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur atas tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara namun dibebaskan daripada tuduhan tersebut pada 2017.
Terdahulu pada sesi pagi, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa 1MDB telah memberi `lampu hijau’ kepada pihak pembelaan untuk memanggil dua bekas peguamnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu bekas peguam itu masih lagi terikat dengan hak istimewa pelanggan-peguam (client-solicitor privilege).
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini. – UTUSAN