Maritim Malaysia perluas SWASLA, perkukuh pemantauan perairan negara

Maritim Malaysia perluas SWASLA, perkukuh pemantauan perairan negara

SAIFUDDIN Nasution Ismail (kanan) bersama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah pada acara Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh, George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan memperluas pemasangan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) ke kawasan strategik bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan perairan negara secara masa nyata (real-time).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini, dua zon SWASLA telah beroperasi, iaitu di Lumut, Perak bagi memantau perairan Selat Melaka dan di Sabah untuk mengawasi kawasan Pantai Barat negeri itu. 

Katanya, pengukuhan teknologi pemantauan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan keselamatan maritim negara.

“Pemasangan radar SWASLA akan meliputi kawasan strategik yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ aktiviti jenayah maritim seperti penyeludupan dadah, migran dan barangan bercukai.

“Perancangan baharu akan menyaksikan sistem ini diperluas ke perairan Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung, bagi mengawasi semua jenis pergerakan bot atau kapal di perairan negara,” katanya selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh, di sini hari ini.

Hampir 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia itu, malah, pengunjung turut teruja menyaksikan demonstrasi pasukan Maritim Malaysia Star Team menyelamatkan tebusan sempena acara berkenaan.

Menurut Saifuddin, selain itu, penggunaan dron dan Unmanned Aerial Vehicles (UAV) turut diperluaskan bagi mengawasi kawasan laut yang sukar diakses sejajar dengan Pelan Strategik APMM 2023-2033 yang memberi penekanan kepada pemodenan aset serta peningkatan kecekapan operasi.

“Dalam usaha memastikan aset sedia ada beroperasi secara optimum, Maritim Malaysia turut melaksanakan Program Repowering serta Ship Life Extension Programme (SLEP) bagi memanjangkan jangka hayat kapal dengan kos yang lebih efektif,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, bagi memperkukuh kawalan maritim, Maritim Malaysia juga akan memperoleh beberapa kapal peronda luar pesisir (OPV) yang boleh memuatkan helikopter, selain menerima empat buah helikopter jenis Augusta Westland AW189 Medium Lift pada tahun 2026. 

“Perolehan kapal baharu, termasuk dua kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) dan empat kapal New Generation Patrol Vessel (NGPV), juga sedang dalam proses,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu, kerajaan telah meluluskan beberapa projek fizikal di bawah Rolling Plan 5 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tahun 2025. 

“Antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Salak Tinggi, pembinaan Pejabat dan Jeti Operasi Maritim Negeri Sabah dan Labuan di Teluk Sepanggar serta Jeti Pos Batu Putih di Perlis.

“Selain itu, sebuah Stesen Udara Maritim akan dibina di Sandakan, Sabah, manakala kerja-kerja naik taraf jeti sedia ada turut giat dilaksanakan bagi menampung keperluan aset operasi Maritim Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN