Permohonan tangguh bicara kes Zayn Rayyan ditolak

Permohonan tangguh bicara kes Zayn Rayyan ditolak

ZAIM Ikhwan Zahari (kiri) dan Ismanira Abdul Manaf (tengah) tiba di Komplek Mahkamah Petaling Jaya, Selangor.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Se­syen di sini semalam menolak permohonan pasukan pembelaan ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan permohonan gugur diputuskan.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas peguam bela, Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon penangguhan perbicaraan yang dijadualkan bermula Isnin depan sehingga permohonan itu dilupuskan.

“Pada prosiding lalu, mah­kamah telah meminta pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan status notis usul itu hari ini. 

“Disebabkan permohonan ter­sebut masih belum didengar di Mahkamah Tinggi, maka mahkamah akan meneruskan dengan perbicaraan pada bulan hadapan,” kata Syahliza.

Terdahulu, Haresh memaklumkan permohonan anak guamnya untuk membatalkan pertuduhan  yang dikenakan terhadap mereka masih belum didengar.

Katanya, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menerima salinan termeterai notis itu dan mengesahkan pengurusan kes akan dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar pada Selasa minggu hadapan.

“Kami mohon tarikh-tarikh bicara yang ditetapkan pada Februari dan Mac hadapan dilapangkan sementara menunggu pelupusan permohonan notis usul terbabit,” katanya.

Pada 21 Januari lalu, prosiding terdahulu, ibu bapa kepada Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari, dan Ismanira Abdul Manaf memfailkan permohonan agar mereka dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian mengesahkan pihak pendakwaan telah menerima salinan permohonan notis usul yang dikemukakan kedua-dua tertuduh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Jumaat lalu, pihak pendakwaan telah menerima salinan permohonan menerusi emel daripada pihak pembelaan. Saya percaya telah ditetapkan sebutan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Februari ini.

“Susulan itu, pihak pendakwaan akan memfailkan afidavit berhubung permohonan berkenaan di Mahkamah Tinggi. Dengan itu, mohon arahan lanjut daripada mahkamah berhubung permohonan penangguhan prosiding oleh pembelaan dan pihak pendakwaan juga ingin memaklumkan, kami bersedia untuk perbicaraan,” katanya.

Berdasarkan notis usul terbabit, pasangan itu memohon kes ber­kenaan dibatalkan dengan alasan pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001. 

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan meng­aku tidak bersalah mengabaikan anak mereka.

Mengikut pertuduhan, sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×