WASHINGTON: Majlis angkat sumpah pelantikan Presiden Amerika Syarikat (AS) baharu, Donald Trump dipindahkan ke lokasi tertutup berikutan jangkaan cuaca sejuk melampau.
Pelantikan Trump akan diadakan di dalam Bangunan Capitol AS pada Isnin, sekaligus menjadikan acara itu buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun dipindahkan ke dalam bangunan.
“Terdapat gelombang dingin Arktik yang melanda negara ini. Saya tidak mahu melihat orang ramai cedera atau mengalami apa-apa kemudaratan.
“Oleh itu, saya mengarahkan ucapan pelantikan, selain doa dan ucapan lain, untuk disampaikan di Rotunda Capitol AS,” kata Trump menerusi platform media sosial miliknya, Truth Social.
Kali terakhir majlis pelantikan dipindahkan ke dalam bangunan kerana cuaca sejuk melampau adalah pada 1985 semasa upacara angkat sumpah kali kedua bekas Presiden Republikan, Ronald Reagan, apabila suhu angin petang menjunam antara -23 hingga -29 darjah Celcius.
Ramalan cuaca untuk Washington pada hari Isnin menunjukkan suhu sekitar -7°C semasa upacara angkat sumpah Trump, tetapi angin dingin dijangka membuatkan ia terasa lebih sejuk.
Trump berkata, para penyokong boleh menyaksikan majlis tersebut melalui skrin di dalam Capital One Arena, sebuah gelanggang profesional untuk bola keranjang dan hoki di pusat bandar Washington yang mampu menampung 20,000 orang.
Beliau juga menyatakan acara Perarakan Presiden yang pada asalnya melibatkan kumpulan pancaragam dan pelbagai kumpulan berjalan sepanjang Pennsylvania Avenue ke Rumah Putih, akan dipindahkan ke Capital One Arena.
Bagaimanapun, belum jelas bagaimana perarakan akan dianjurkan di dalam tempat sukan tersebut.
Trump berkata, beliau akan menyertai orang ramai di arena tersebut selepas majlis angkat sumpah.
Majlis angkat sumpah Trump dijangka dihadiri oleh ratusan ribu tetamu dengan tiket dan melibatkan kira-kira 25,000 anggota penguat kuasa undang-undang dan tentera.-AFP











