BOGOR: Kereta milik pelakon wanita, Yuki Kato dipecah masuk pencuri di kawasan parkir di sebuah pasar raya di Perumahan Kota Wisata Cluster Somerset, Desa Ciangsana, Kecamatan Gunung Putri, Kabupaten Bogor, Jawa Barat.
Kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 8.15 malam, Rabu lalu, lapor Tribunnews.
Menerusi sebuah video yang tular dalam media sosial, kelihatan sebuah kereta putih jenis Mazda CX-5 2.5L A/T High dengan nombor pendaftaran B 2382 ZBC yang sedang diparkir, didatangi oleh seorang lelaki tidak dikenali dengan gerak-geri yang mencurigakan.
Tidak lama selepas itu, lelaki tersebut dilihat seperti mengambil sesuatu dari bahagian depan kiri kereta sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Susulan insiden tersebut, Yuki Kato melalui adiknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Gunung Putri, Khamis lalu.
Ketua Polis Balai Gunung Putri, Aulia Robby Kartika Putra, menyatakan kejadian itu berlaku ketika Yuki Kato bersama adiknya, RK, tiba di pasar raya di Kota Wisata Cibubur pada pukul 7.58 malam, Rabu lalu.
Selepas menerima laporan, pihak polis segera melakukan siasatan di tempat kejadian untuk mengumpul bukti-bukti penting.
Buat masa ini, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek dan mendapatkan barangan milik mangsa.
Insiden itu menjadi peringatan kepada masyarakat untuk lebih berhati-hati ketika meletakkan kenderaan, terutamanya di kawasan awam, bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku.











