WASHINGTON: Seorang bekas petugas Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengaku bersalah kerana membocorkan dokumen rahsia mengenai rancangan Israel untuk menyerang Iran tahun lalu, semasa tempoh ketegangan serantau yang meningkat akibat perang Israel di Gaza dan Lubnan.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menyatakan tertuduh, Asif William Rahman, 34, mengaku bersalah atas dua tuduhan ‘menyimpan dan menghantar maklumat rahsia secara sengaja’ berkaitan pertahanan negara.
Tertuduh dijadualkan dijatuhkan hukuman pada 15 Mei depan dan menghadapi hukuman maksimum 10 tahun penjara bagi kedua-dua tuduhan tersebut, menurut perjanjian pengakuan bersalah.
“Rahman mengkhianati kepercayaan rakyat Amerika dengan secara tidak sah berkongsi maklumat rahsia pertahanan negara yang dia telah bersumpah untuk melindunginya.
“Pengakuan bersalah hari ini menunjukkan Jabatan Kehakiman tidak akan berkompromi dalam mencari dan mendakwa mereka yang mencederakan AS dengan mendedahkan rahsia keselamatan negara secara haram,” kata Penolong Peguam Negara, Matthew G Olsen dalam kenyataan.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menangkap Rahman, yang menurut kerajaan AS telah menjadi pekerja CIA sejak 2016 dan mempunyai kelulusan keselamatan Top-Secret di Kemboja pada November.
Media AS melaporkan pada masa itu, pegawai AS menuduhnya membocorkan dokumen yang disediakan oleh Agensi Perisikan Geospatial Nasional (NGA), yang menganalisis imej dan maklumat yang dikumpulkan oleh satelit perisik AS.
NGA juga menjalankan kerja yang menyokong operasi ketenteraan rahsia AS.-AGENSI











