PETALING JAYA: Kadar bantuan kewangan haji perlu dinilai setiap tahun bagi memastikan subsidi yang terlalu tinggi tidak menjejaskan pulangan pelaburan pendeposit dan kestabilan kewangan Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, bakal jemaah haji perlu bertanggungjawab terhadap kos sebenar menunaikan haji selaras dengan resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan dan konsep istito’ah (kemampuan).
Menurut beliau, ibadah haji hanya diwajibkan ke atas individu yang benar-benar mampu dan pemahaman mengenai konsep tersebut telah diperjelaskan serta diberi penekanan oleh mufti-mufti di negara ini.
CAKNA
“Kerajaan cakna akan situasi kos sara hidup yang mencabar dan memutuskan untuk meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar khusus untuk bakal haji Muassasah yang menunaikan ibadah tersebut buat kali pertama.
“Kita perlu memahami isu ini dengan jelas. Kos haji adalah jumlah sebenar yang diperlukan untuk menunaikan haji. Bayaran haji pula adalah jumlah yang dikenakan TH bagi bakal jemaah. Bayaran haji bagi kedua-dua golongan ini adalah jauh lebih rendah daripada kos sebenar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, bagi menunaikan ibadah haji kali pertama, jemaah daripada golongan B40 menerima subsidi sebanyak 55 peratus daripada kos haji sebenar. Sementara itu, jemaah daripada golongan M40 pula menerima subsidi sebanyak 29 peratus.
Jelasnya, TH akan terus berusaha mengawal kenaikan kos ibadah haji bagi meringankan beban jemaah Malaysia walaupun berdepan dengan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan perkhidmatan di Tanah Suci.
Beliau berkata, buat masa ini, kos haji bagi setiap jemaah untuk musim 1446H/2025M berjaya dikekalkan pada kadar RM33,300 hasil daripada langkah proaktif TH yang mengikat kontrak jangka panjang dengan penyedia perkhidmatan.
ISTITO’AH
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Mohd. Sukki Othman berkata, pendeposit TH dan jemaah haji perlu memahami syarat istito’ah yang digariskan oleh hukum syarak sebelum menunaikan ibadah haji.
Katanya, istito’ah merangkumi kemampuan jemaah dari sudut kesihatan, kenderaan untuk pergi dan balik ke Tanah Suci, kemampuan harta dan kewangan yang mencukupi serta keselamatan yang terjamin semasa dalam perjalanan.
“Oleh itu, umat Islam perlu diberi pemahaman yang lebih meluas tentang konsep ibadah haji ini, yang berbeza dengan ibadat-ibadat lain. Tanpa memenuhi syarat istito’ah, seorang Muslim tidak diwajibkan untuk melaksanakan haji,” katanya. – UTUSAN










