BEBERAPA kali video peniaga donut ‘kontroversi’ melintas di sosial media saya, lekas-lekas saya swipe ke atas.
Bukan apa, geli-geleman dan loya melihat aksi peniaga lelaki itu ketika menjual kuihnya.
Lebih-lebih lagi dengan mimik muka dan tagline-tagline yang berunsurkan lucah.
Memandangkan lelaki itu pun sudah memohon maaf, saya harap isu ini dapat dijadikan pedoman oleh peniaga-peniaga lain.
Nasihat ini tidak hanya ditujukan pada mereka yang bergiat dalam perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), malah merangkumi sektor-sektor lain termasuk fesyen mahupun produk kesihatan.
Apa tidaknya, sekarang ini saya lihat sudah menjadi-jadi trend menggunakan elemen lucah untuk melariskan jualan.
Kalau buka Tiktok, bersepah-sepah kandungan promosi yang fyp, menjurus ke arah negatif itu.
Hasilnya, dalam masa singkat sahaja, sesuatu produk atau jenama boleh meletop hingga dapat meraih pulangan atau untung besar.
Walau apa pun niat anda, fahamilah adab-adab berniaga sebagai orang Islam.
Tidak sepatutnya penjualan sebarang produk dikaitkan dengan perbuatan atau aktiviti lucah yang bertentangan dengan ajaran agama.
Banyak lagi cara berhemah lain yang boleh dijadikan trademark, identiti atau pendekatan untuk melariskan jualan.
Contohilah usahawan terkenal, Khairul Aming yang tidak perlu menggunakan taktik kotor sedemikian untuk berjaya.
Buktinya, dalam masa hanya tiga minit, beliau boleh meraih jualan RM1 juta.
Malah, kandungan-kandungan video masakan dan kembaranya menjadi inspirasi ramai anak muda untuk mengikut jejak langkah sama.
Saya masih ingat antara kata-kata Khairul Aming ketika sesi temubual pada Jun lalu.
Walaupun sudah di kemuncak kejayaan, namun pemuda berasal dari Kelantan ini tidak berhenti mengasah mindanya dengan ilmu-ilmu baharu.
Setiap hari, beliau meluangkan sekurang-kurangnya sejam untuk menonton video atau membaca buku pelbagai genre termasuk berkaitan angkasa lepas.
Ilmu-ilmu itu bukan sahaja membantu membuka minda agar lebih kreatif sebagai usahawan, malah membawanya terkedepan sebagai perintis industri.
Oleh itu, jika mahu melariskan jualan tidak perlulah beriya-iya menggunakan elemen lucah, contohilah sahaja Khairul Aming.
Paling penting, jadilah peniaga yang berilmu sekali pun anda berniaga di restoran, warung dan gerai tepi jalan atau secara dalam talian.
-ROSALINDA MD.SAID adalah wartawan Utusan Malaysia










