Lebih 100 pelarian Rohingya diselamatkan di pantai Indonesia

Lebih 100 pelarian Rohingya diselamatkan di pantai Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Lebih 100 pelarian Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak diselamatkan selepas bot mereka karam di luar pantai Indonesia, lapor agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Memuatkan artikel berkaitan…

Etnik Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam dianiaya dengan teruk di Myanmar dan beribu-ribu mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun dalam perjalanan laut yang panjang dan berbahaya untuk sampai ke Malaysia atau Indonesia.

“Kami menerima laporan daripada kerajaan Aceh Timur bahawa terdapat 116 pelarian secara keseluruhan.

“Para pelarian masih berada di pantai sekarang, ia belum diputuskan ke mana mereka akan dibawa,” kata Pegawai UNHCR, Faisal Rahman.

Beliau berkata, bot kayu rapuh yang membawa etnik Rohingya itu ditemui separuh tenggelam tidak jauh dari pantai di timur laut pulau Sumatera.

Seorang nelayan tempatan, Saifudin Taher berkata, bot itu mula dikesan memasuki perairan Aceh Timur pada pagi ini dan beberapa jam kemudian ia hampir karam.

“Semua penumpang terselamat, tetapi seorang daripada mereka sakit dan segera menerima rawatan,” kata Saifudin sambil menambah bot itu kini hanya 100 meter dari pantai dan pelarian boleh berjalan dengan mudah ke tempat selamat.

Ketibaan Rohingya di Indonesia cenderung mengikut corak kitaran, perlahan semasa bulan ribut dan meningkat semula apabila keadaan laut tenang.

Bulan lalu, 152 pelarian Rohingya akhirnya dibawa ke darat selepas berlabuh selama beberapa hari di luar pantai daerah Aceh Selatan.

Indonesia bukan penandatangan konvensyen pelarian PBB dan menegaskan tidak boleh dipaksa untuk menerima pelarian dari Myanmar, sebaliknya menyeru negara jiran untuk berkongsi beban dan menempatkan semula Rohingya yang tiba di pantainya.

Ramai orang Aceh yang mempunyai ingatan tentang konflik berdarah selama beberapa dekad, bersimpati dengan nasib saudara seislam mereka.

Tetapi yang lain berkata, kesabaran mereka telah diuji, mendakwa Rohingya menggunakan sumber yang terhad dan kadang-kala mencetus konflik dengan penduduk tempatan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN