SOALAN
Suami taasub dengan lelaki dipanggil ustaz. Bagaimana cara untuk saya menegur suami kerana dia garang?
-Isteri risau
JAWAPAN
Isu ketaksuban terhadap lelaki bergelar ustaz merupakan satu fenomena dalam kalangan masyarakat.
Ketaksuban berlaku apabila mereka terlalu mengagumi perwatakan, mempercayai kata-kata seseorang sehingga sanggup mengikuti setiap perlakuan individu tersebut.
Dalam konteks keluarga, ketaasuban boleh menimbulkan pelbagai masalah antara suami isteri.
Meskipun menghormati golongan ulama dan tokoh agama adalah suatu yang dituntut, ketaasuban melampau boleh memberi kesan pada institusi kekeluargaan.
Isu ini memerlukan pendekatan yang bijaksana ketika membuat teguran supaya tidak menimbulkan konflik berterusan dengan suami.
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh membantu puan:
a)Fahami pandangan: Cuba fahami mengapa suami begitu menghormati ustaz tersebut. Ini akan membantu puan untuk melihat daripada perspektifnya dan mungkin dapat meredakan ketegangan semasa berbincang.
b)Masa bersesuaian: Berbincang dengan suami dalam keadaan tenang seperti selepas solat atau ketika berdua.
Elakkan membuat teguran dalam keadaan suami sedang beremosi.
c)Pujian dan penghargaan: Sebelum membuat teguran, beri pujian dan penghargaan kepada suami atas sifat baiknya meminati ilmu agama. Secara tidak langsung dapat melembutkan hati suami dan menjadikan perbualan lebih harmoni.
d)Berempati: Fahami perasaan suami, gunakan bahasa yang lembut dan penuh kasih sayang semasa berbincang. Elakkan daripada menggunakan nada yang menyalahkan atau mengkritik. Tunjukkan bahawa puan cuba untuk memahaminya.
e)Fokus pada kebimbangan: Beri penegasan bahawa kebimbangan puan bukanlah kepada ustaz tersebut, tetapi kepada perubahan atau pengaruh yang mungkin tidak bersesuaian. Contohnya, jika dia mengabaikan tanggungjawab keluarga atau menjadi terlalu obses, bincangkan perkara tersebut.
f)Hujah bersandarkan agama: Cari pandangan ulama atau hadis yang menyokong pentingnya bersederhana dalam mengikut seseorang, walaupun ustaz. Ini akan membantu puan untuk menegur suami dari sudut agama yang mungkin lebih dia hormati.
g)Bantuan lain: Sekiranya suami sukar menerima teguran, minta bantuan seseorang yang suami hormati seperti ahli keluarga atau sahabat untuk menasihatinya.
h)Sokongan dan doa: Berdoa agar Allah melembutkan hati suami dan memberi kebijaksanaan kepada puan dalam menegur. Pendekatan yang terbaik adalah dengan terus menunjukkan kasih sayang dan kesabaran, sambil memberi ruang kepada suami untuk merenung










