VIENTIANE: Pemimpin Asia Tenggara mengadakan perbincangan dengan wakil junta Myanmar pada sidang kemuncak serantau di Laos semalam, untuk mengembalikan usaha diplomatik bagi menamatkan perang saudara di negara itu.
Isu Laut China Selatan yang menjadi pertikaian juga menjadi agenda pada perhimpunan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), selepas beberapa bulan pertempuran ganas antara kapal China dan nelayan Filipina serta Vietnam.
ASEAN berusaha selama tiga tahun tanpa hasil untuk mencari penyelesaian kepada krisis Myanmar, yang meragut ribuan nyawa dan memaksa berjuta orang meninggalkan rumah mereka.
Blok itu melarang pemimpin junta menghadiri sidang kemuncaknya selepas insiden rampasan kuasa pada Februari 2021 dan tentera menolak jemputan untuk menghantar wakil ‘bukan politik’.
Namun, junta Myanmar berundur dan menghantar seorang pegawai kanan Kementerian Luar Negeri ke pertemuan tiga hari di Laos, wakil pertamanya dalam perhimpunan peringkat tertinggi bagi tempoh tiga tahun setengah.
Keputusan itu dibuat dua minggu selepas tentera mengeluarkan jemputan yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada musuhnya untuk rundingan bertujuan menamatkan konflik, berikutan beberapa siri kekalahan di medan perang.
Beberapa minggu selepas menggulingkan kerajaan yang dipilih pimpinan Aung San Suu Kyi, junta bersetuju dengan rancangan konsensus lima perkara bersama ASEAN untuk memulihkan keamanan, namun mengabaikannya dan meneruskan tindakan keras terhadap puak penentang serta pembangkang.
Delegasi berharap perbincangan bersemuka pertama dengan Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Aung Kyaw Moe dapat membuka jalan kepada kemajuan baharu untuk konflik Myanmar.– AGENSI










