BEIRUT: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran Lubnan dilanda ‘malapetaka’ krisis kemanusiaan apabila jumlah individu yang dipindahkan secara dalaman mencecah 600,000, ketika Israel berterusan melancarkan serangan terhadap Hezbollah.
Penyelaras Khas PBB di Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert berkata, Lubnan berdepan konflik dan krisis kemanusiaan yang membawa bencana.
“Seramai 600,000 orang kehilangan tempat tinggal dan lebih 350,000 daripadanya adalah kanak-kanak,” katanya.
Israel memperhebatkan serangan udara terhadap kubu kuat Hezbollah di Lubnan sejak 23 September lalu, menyebabkan lebih 1,190 orang terbunuh dan memaksa lebih sejuta melarikan diri, mengikut pengiraan angka rasmi AFP.
Tentera Darat Israel menceroboh ke Lubnan, sejak 30 September lalu, sebagai tindak balas terhadap serangan roket dan artileri Hezbollah sepanjang tahun lalu, yang memaksa puluhan ibu rakyat Israel keluar dari rumah mereka di kawasan sempadan.
Dalam perkembangan lain, tentera Israel berkata, pihaknya berjaya membunuh dua Komander Hezbollah dalam serangan udara di selatan Lubnan.
Mereka ialah Ahmed Mustafa Allhaj Ali, yang menurut tentera Israel bertanggungjawab menembak ratusan roket dan peluru berpandu antikereta kebal di bandar Kiryat Shmona.
Seorang lagi ialah Muhammad Ali Hamdan, yang dikatakan bertanggungjawab melancarkan serangan peluru berpandu di utara Israel.
Tentera Israel juga mendakwa berjaya mengebom gudang senjata di Beorut dan infrastruktur tebtera lain di selatan Lubnan.
Sementara itu, lebih 100 pegawai perubatan terbunuh di Lubnan sejak permusuhan tercetus dan memberikan kesan besar pada rakyat Lubnan.
Hospital di selatan Lubnan dan Pusat Perubatan barisan hadapan juga sudah ditutup. -AFP










