TEHERAN: Iran tidak berminat untuk memperluaskan peperangan dengan Israel, meskipun rejim sudah melanggar ‘garis merah’ menyerang tapak ketenteraannya, minggu lalu.
Bagaimanapun, Presidennya, Masoud Pezeshkian menegaskan Iran masih tetap akan membalas serangan rejim demi mempertahankan hak negara dan rakyatnya.
“Kami tidak berniat untuk peperangan tetapi kami akan mempertahankan hak negara dan rakyat Iran.
“Iran akan melancarkan tindak balas yang bersesuaian terhadap serangan rejim Israel,” kata Pezeshkian dalam mesyuarat Kabinet.
Sabtu lalu, Israel melancarkan serangan udara terhadap tapak tentera di Iran sebagai tindak balas kepada serangan Teheran, awal bulan ini.
Pezeshkian menyalahkan ketegangan serantau yang memuncak berpunca daripada pencerobohan Israel dan sokongan Amerika Syarikat (AS), yang tidak diiktiraf oleh Teheran.
“Jika serangan dan jenayah Israel berterusan, ketegangan akan merebak.
“AS berjanji untuk menamatkan perang sebagai balasan terhadap kekangan kami, tetapi mereka gagal menunaikan janji,” kata Presiden Iran itu.
Selain menggesa peperangan di Gaza dihentikan, Iran juga menyokong kumpulan sekutu di rantau itu, termasuk Hezbollah di Lubnan, untuk menentang Israel habis-habisan bulan lalu, setelah setahun pertempuran rentas sempadan.
SERANGAN CAPAI MATLAMAT
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa serangan udaranya berjaya ‘melumpuhkan’ pertahanan dan pengeluaran peluru berpandu Iran.
Netanyahu turut menyifatkan serangan itu sebagai tepat dan berjaya memenuhi semua matlamat Israel.
“Angkatan udara menyerang seluruh Iran. Kami membedil pertahanan Iran dan keupayaannya untuk menghasilkan peluru berpandu yang disasarkan ke arah kami,” kata Netanyahu.
Namun, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan tahap kerosakan akibat serangan pada Sabtu lalu tidak sepatutnya diperbesar-besarkan.
“Serangan terhadap Iran, yang mengorbankan empat askar dan menyebabkan beberapa kerosakan tidak boleh diperkecilkan atau diperbesar-besarkan,” kata Khamenei.
Dalam kenyataan berasingan, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mendakwa Iran tidak lagi dapat menggunakan sekutunya, Hamas dan Hezbollah sebagai alat menentang rejim.
Gallant dalam ucapannya mendakwa, kedua-dua kumpulan dari Gaza dan Lubnan itu kini bukan lagi alat berkesan bagi Teheran.
Menurutnya, Hamas tidak lagi berfungsi sebagai rangkaian ketenteraan di Gaza, manakala pusat arahan dan sebahagian keupayaan peluru berpandu Hezbollah juga sudah dihapuskan.
Bagaimanapun, Hamas menegaskan masih mampu bertindak secara ketenteraan, meskipun Israel menggiatkan operasi di utara Gaza untuk menyekat kumpulan pejuang itu daripada membina semula kekuatan.
Hezbollah pula berkata, struktur perintahnya kekal utuh dan masih mengekalkan keupayaan peluru berpandu.- REUTERS











