PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak memperuntukkan cuti ganti pada Selasa depan susulan pertindihan Hari Malaysia dan Hari Maulidur Rasul pada Isnin.
Menurut JPA, Ini berikutan Akta Hari Kelepasan 1951 yang tidak memperuntukkan cuti gantian automatik bagi kelepasan am bertindih atau jatuh pada hari bekerja yang sama.
“Pada 17 September 2024 Pegawai Awam bekerja seperti biasa dan cuti ganti tidak terpakai walaupun berlaku pertindihan hari kelepasan am pada Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW (Maulidur Rasul) dan Hari Malaysia yang masing-masing pada 16 September,” jelas hantaran di laman Facebook.
Media sebelum ini melaporkan, sektor swasta boleh menggantikan Hari Maulidur Rasul yang jatuh pada 16 September ini kepada keesokannya atau tarikh lain kerana bertindih dengan Hari Malaysia.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan, mana-mana majikan sektor swasta yang memilih cuti Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W sebagai hari kelepasan am hendaklah menggantikan cuti tersebut pada hari Selasa, 17 September 2024 sebagaimana yang ditetapkan dalam seksyen 60D(1) Akta Kerja 1955.
Bagaimanapun majikan boleh dengan persetujuan pekerja untuk menggantikan cuti Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW tersebut pada hari lain (selain 17 September 2024) sebagaimana peruntukan seksyen 60D(1A) Akta Kerja 1955. – UTUSAN










