BEIRUT: Israel terus melancarkan siri serangan udara besar-besaran di ibu negara Lubnan, mensasarkan beberapa lokasi dipercayai ibu pejabat utama kumpulan Hezbollah.
Menurut pegawai Lubnan, sekurang-kurangnya dua terbunuh dan 76 cedera, selepas beberapa bangunan terkena bom di Dahieh, kubu kuat Hezbollah di selatan Beirut.
Koresponden BBC di Beirut melaporkan, beberapa letupan kedengaran diikuti suasana panik apabila orang ramai bertempiaran lari di jalan-jalan berdekatan.
Tentera Israel mendakwa, ibu pejabat Hezbollah yang disasarkan berada di bangunan kediaman.
Media Israel dan AS melaporkan, serangan itu mensasarkan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah, namun tiada sebarang berita mengesahkan beliau cedera atau meninggal dunia.
Penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, Ali Larijani memberitahu stesen TV kerajaan, Israel bertindak melampau melanggar garis merah Teheran.
“Pembunuhan orang awam tidak akan menyelesaikan masalah Israel,” katanya seperti laporan Reuters.
Israel memperhebatkan kempen mereka terhadap kumpulan bersenjata Lubnan itu, dengan serangan merentasi sempadan sejak hampir setahun lalu.
Serangan udara di selatan dan timur Lebanon minggu ini, meragut hampir 800 nyawa kebanyakannya orang awam, menurut pegawai Lubnan. – AGENSI










