PETALING JAYA: Pengalaman Harimau Malaya menentang dengan beberapa pasukan dari Asia Barat bakal menjadi taruhan Pau Marti Vicente bagi menghadapi Lubnan dalam final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata berdasarkan pengalamannya sebagai penolong jurulatih ketika Harimau Malaya dibimbing oleh Kim Pan Gon, mengakui kesemua negara dari Asia barat mempunyai kekuatan yang hampir sama.
“Sebagai satu pasukan, kami melalui banyak perkara terutamanya dua tahun lalu apabila kami bertemu pasukan lebih kurang sama seperti Lubnan.
“Baru-baru ini kami menentang Jordan, Oman dan Syria yang mana saya fikir perlawanan tersebut lebih kurang sama dengan kualiti pemain juga lebih kurang sama.
“Kami belajar daripada situ. Kami perlu tunjukkan macam mana kami menyesuaikan diri daripada situasi itu dan adakalanya perlawanan seperti ini sukar untuk dijangka tetapi kami bersedia secara mental dan taktikal,” katanya kepada pemberita dalam sidang media semalam.
Malaysia mara ke final selepas menewaskan Filipina 2-1 pada Rabu lalu manakala Lubnan menundukkan Tajikistan 1-0 juga pada hari yang sama di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam pada itu, Pau Marti turut memasang impian untuk menamatkan kemarau Pestabola Merdeka selepas kali terakhir Malaysia memenanginya pada 2013 menundukkan Myanmar 2-0.
“Saya rasa bermotivasi untuk final ini, satu penghormatan beraksi di final sebagai tuan rumah. Saya fikir kami perlu bersedia untuk final kali ini.
“Sudah tentu kami berikan 100 peratus untuk dapatkan trofi ini kerana saya percaya sudah lebih daripada 10 tahun Malaysia tidak memenanginya,” ujarnya.
Pau Marti turut memaklumkan pemainnya bebas daripada kecederaan dan mengakui anak-anak buahnya perlu lebih agresif di depan gol bagi merobek gawang lawan menjelang aksi final nanti.
“Setakat ini semua pemain sedia untuk beraksi dan tugas saya untuk memilih kesebelasan utama. Aksi terakhir (menentang Filipina) kami positif tetapi kami kena lebih agresif apabila ada peluang di depan gol.
“Apa yang penting kami boleh mencipta peluang tetapi kami perlu cipta lebih banyak. Untuk pertahanan, kami jangka lawan yang sukar jadi kami perlu bermain lebih padat,” katanya.-UTUSAN










