PETALING JAYA: Ketua jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic mengakui dia sudah mengumpul maklumat yang lengkap mengenai Harimau Malaya apabila kedua-dua pasukan itu dijadual dalam final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Pengendali dari Montenegro itu berkata kebanyakkan maklumat tersebut diperolehi daripada dua pemainnya yang sebelum ini pernah beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) iaitu Rabih Ataya dan Khalil Khamis.
“Sudah tentu saya menggunakan maklumat yang diberikan oleh Rabih dan Khalil tetapi saya juga mendapatkan maklumat daripada daripada dua bekas pemain saya ketika bersama skuad kebangsaan Montenegro.
“Saya juga mendapatkan maklumat dari Argzim Redzovic dari Terengganu FC dan Adrijan Rudovic dari Kuala Lumpur City tentang kejohanan ini, liga dan beberapa pemain (Harimau Malaya),” katanya.

Rabih pernah beraksi bersama UiTM FC pada 2020 dan Kedah Darul Aman (KDA) FC (2021) secara pinjaman manakala Khalil bermain bersama Sri Pahang FC pada 2020.
Jurulatih berusia 56 tahun itu turut melakukan kerja rumah secara terperinci dengan menganalisis taktikal dan corak permainan Harimau Malaya dan menjangkakan pertemuan sengit pada aksi final.
“Saya menonton aksi dan menganalisis pasukan Malaysia dan mereka memiliki beberapa pemain naturalisasi yang bagus, kuat dan memiliki individu yang mengagumkan.
“Pasti final esok sukar namun seperti saya katakan kami sudah bersedia untuk perlawanan ini. Esok bagi kami pengalaman yang bagus untuk pasukan yang kuat seperti Malaysia. Saya jangkakan esok (hari ini) lebih ramai penyokong yang hadir,” katanya.
Sementara itu, penyerang Lubnan, Gabriel Bitar enggan memandang rendah terhadap kemampuan Harimau Malaya meskipun mereka mempunyai kedudukan ranking yang lebih rendah.
Berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Lubnan kini berada di kedudukan ke-116 manakala Harimau Malaya di tangga ke-134.
“Saya fikir mereka mempunyai ramai pemain berkualiti dan saya fikir kami patut kekal dalam satu pasukan dan bertahan dalam satu pasukan.
“Jika, kami main dengan tersusun saya tidak fikir mereka boleh memecahkan kami dan kami perlu bermain dengan lebih padat dan bertahan dengan ketat,” jelasnya.-UTUSAN










