HONG KONG: Hong Kong menyambut kedatangan sepasang panda gergasi yang dihadiahkan oleh kerajaan China sempena 75 tahun pemerintahan Parti Komunis, sebagai sebahagian daripada usaha pihak berkuasa untuk mendalami semangat patriotisme.
CNN melaporkan, An An dan Ke Ke, kedua-duanya berusia lima tahun, tiba sekitar pukul 11 pagi waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan disambut meriah di negara ini.
Bagaimanapun, haiwan tersebut hanya akan dipamerkan bulan Disember ini kerana perlu menjalani kuarantin selama 30 hari dan memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan habitat baharu.
Sejurus tiba di lapangan terbang, pasangan panda itu diiringi konvoi motor polis ke Ocean Park, sebuah taman tema haiwan yang turut menempatkan empat ekor panda lain.
An An dan Ke Ke yang berasal dari pusat pembiakan di wilayah Sichuan, China melalui perjalanan sejauh 1,350 kilometer dari Chengdu ke Hong Kong di dalam kurungan yang dilengkapi dengan makanan.
Rakaman oleh penyiar awam Hong Kong, RTHK menunjukkan, kurungan panda berkenaan diangkat menggunakan forklift ke dalam trak, sementara sekumpulan kakitangan mengucapkan selamat tinggal dari tepi jalan.
Seorang penjaga panda dari Ocean Park berada di Chengdu sejak Julai lalu untuk membolehkan haiwan itu menyesuaikan diri dengan bau dan suaranya.
An An, panda jantan dengan berat 130 kilogram (kg), digambarkan sebagai kuat, tangkas dan bijak, sementara panda betina, Ke Ke, seberat 100 kg pandai memanjat, lembut dan comel.
Ketibaan pasangan panda itu menjadikan jumlah haiwan terbabit kepada enam ekor di Hong Kong dengan panda bernama Le Le dan Ying Ying dihadiahkan kepada Hong Kong pada tahun 2007.
Ying Ying menarik perhatian pada bulan lalu apabila melahirkan anak kembar, menjadikannya sebagai ibu panda pertama tertua yang diketahui. – AGENSI










