GENEVA: Palestin melakar sejarah baharu apabila secara rasmi memulakan peranannya sebagai anggota dalam sesi pembukaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin.
Perkembangan itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha diplomatik Palestin di peringkat antarabangsa.
Acara simbolik pada Selasa mendapat sokongan daripada delegasi, yang membangkitkan isu prosedur untuk menunjukkan ‘detik bersejarah’ tersebut, namun ditentang oleh pihak Israel yang mengemukakan isu balas.
Resolusi PBB yang diluluskan pada Mei lalu, mengiktiraf Palestin memenuhi syarat keanggotaan dan meminta Majlis Keselamatan mempertimbangkan semula untuk menerima negara tersebut sebagai ahli penuh.
Palestin diberikan hak tambahan di PBB, termasuk duduk bersama negara anggota, hak untuk mengemukakan cadangan dan agenda serta mengambil bahagian dalam jawatankuasa, namun belum diberikan hak mengundi.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, sesi ke-79 dibuka dalam suasana dunia yang bermasalah, namun menegaskan negara anggota boleh bekerjasama untuk mengatasinya.
“Sejak hari pertama, PBB telah menjadi tempat untuk penyelesaian multilateralisme, berlandaskan kerjasama, dialog, diplomasi dan Piagam PBB.
“Ia adalah tempat penghormatan antara satu sama lain, maruah dan hak asasi manusia yang dimiliki oleh setiap anggota direalisasikan. Ketika mengalu-alukan sesi ke-79 ini, tanggungjawab tersebut kini terletak pada anda,” katanya.
Dalam sesi itu, Guterres turut menekankan pelbagai topik penting, termasuk kemajuan ekonomi, perubahan iklim dan kecerdasan buatan (AI).
“Langkah demi langkah, penyelesaian demi penyelesaian kita dapat membina semula kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain melalui kerjasama serta solidariti.
“Nilai yang menyatukan kita sejak 1945 lebih penting daripada sebelumnya. Dalam menghadapi cabaran akan datang, Perhimpunan Agung PBB kekal sebagai alat yang tidak ternilai serta laluan penting ke arah masa depan yang aman dan adil untuk semua,” katanya.











