ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dilihat tidak mempunyai pilihan selain menurunkan pemain-pemain skuad bawah 23 tahun, berikutan tindakan boikot skuad utama pasukan itu yang dilanda isu tunggakan gaji selama enam bulan setengah.
Menurut Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain, langkah itu terpaksa diambil bagi memastikan Sang Kenari tidak berdepan ‘malapetaka’ lebih besar seperti berdepan hukuman denda atau pemotongan mata kerana tidak muncul dalam perlawanan tersebut.
Katanya, pasukan muda itu baru saja turun berlatih kelmarin dengan Nafuzi sendiri ketika ini masih berusaha untuk mendalami kemampuan pemain-pemain muda itu.
“Setakat hari ini (petang semalam), saya boleh mengesahkan bahawa KDA FC berkemungkinan besar akan diwakili oleh pemain pasukan bawah 23 tahun untuk menentang KL City, Sabtu ini.
“Kita tak tahu apa akan berlaku sehari dua lagi tetapi setakat hari ini, kami sedang mempersiapkan pasukan bawah 23 tahun. Setidak-tidaknya kami mempunyai tiga atau empat hari untuk berlatih sebelum menentang KL City,” katanya.
Beliau ditemui ketika mengendalikan pasukan itu bagi mengharungi perlawanan persahabatan menentang pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah di Stadium Mini Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dekat Ampang Jajar, kelmarin.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan barisan pemain skuad utama KDA FC memboikot sesi latihan pasukan itu setelah mereka tidak menerima gaji untuk tempoh enam bulan setengah.
Keadaan itu menyebabkan mereka berdepan ‘kesengsaraan’ hingga dihubungi pihak bank hampir setiap hari, yang menagih bayaran ansuran kenderaan dan rumah.

Mengulas mengenai perlawanan persahabatan itu, Nafuzi berkata perlawanan tersebut diatur bagi membolehkannya menilai prestasi pemain-pemain muda berkenaan sebelum membuat percaturan terbaik menentang KL City.
“Pemain-pemain muda ini pun sebenarnya sudah lama berehat dengan kebanyakan mereka baru pulang dari beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak. Setelah lama berehat, mereka baru saja kembali turun berlatih dengan saya, Selasa lalu.
“Ini sajalah pemain yang ada tetapi kami akan cuba lakukan persiapan terbaik. Bagi saya, kita kena terima apa saja keputusan dan tidak boleh mengharapkan apa-apa ketika bertemu KL City nanti kerana pasukan ini baru sangat dibentuk, tak sampai beberapa hari,” katanya.
Diminta mengulas mengenai keadaan dalam skuad utama, Nafuzi berkata, beliau amat berharap supaya segala permasalahan dapat diselesaikan segera.
“Rasanya semua orang maklum dengan situasi sekarang. Cumanya saya berharap perkara ini dapat diselesaikan segera sebab kesannya terlalu besar kepada banyak pihak,” katanya.-UTUSAN










