BAITULMUQADDIS: Kemelut dalaman Israel ke arah mencapai gencatan senjata dengan Hamas berlarutan, apabila Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan menteri kanan masing-masing berselisih faham tentang penguasaan terhadap sebuah kawasan di Gaza yang digelar Koridor Philadelphi.
Dalam perselisihan terbaharu antara dua pihak itu, Netanyahu semalam menyatakan pihaknya perlu mengekalkan kawalan ke atas koridor tersebut untuk mencegah Hamas menyeludup senjata ke Gaza seperti yang berlaku pada 7 Oktober lalu yang mencetuskan perang.
Namun, penduduk Israel termasuk Menteri Pertahanan, Yoav Gallant berpendapat, Israel harus melepaskan kawalan koridor tersebut sekurang-kurangnya untuk jangka masa pendek bagi memastikan pembebasan sekitar 100 tebusannya yang masih ditahan di Gaza.
Perdebatan semakin memuncak pada hujung minggu lalu selepas Israel menemukan mayat enam tebusan yang menurut tentera telah dibunuh oleh Hamas.
Pengkritik berkata, mangsa mungkin boleh dikembalikan hidup-hidup sekiranya perjanjian gencatan senjata dipersetujui dan menuduh Netanyahu mensabotaj perbincangan demi kepentingan politiknya sendiri.
Media Israel selama beberapa minggu ini memetik pegawai keselamatan yang mengkritik Netanyahu, dengan menyatakan bahawa koridor tersebut tidak penting untuk keselamatan Israel dan tidak seharusnya menjadi halangan dalam perjanjian membebaskan tebusan.
Pertikaian itu turut mencetuskan pertengkaran semasa mesyuarat Kabinet keselamatan minggu lalu, apabila Gallant menuduh Netanyahu mengutamakan sempadan berbanding nyawa tebusan.
Gallant merupakan pemimpin yang membangkang usaha Israel mengekalkan kawalan ke atas Koridor Philadelphi
Mesir yang berperanan sebagai perantara utama juga menentang penempatan tentera Israel di sepanjang sempadan Gaza dengan menyatakan ia boleh mengancam perjanjian damai yang telah berlarutan selama beberapa dekad antara kedua-dua pihak. – AGENSI











