BAITULMUQADDIS: Serangan udara Israel terhadap sebuah sekolah di Gaza mengorbankan 18 nyawa termasuk enam kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Jurucakap agensi berkenaan, Mahmud Bassal berkata, kematian kakitangan PBB itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam satu insiden selepas rejim Zionis membedil Sekolah Al-Jawni di Nuseirat.
“Antara yang terbunuh adalah pengurus yang menyelia tempat perlindungan UNRWA dan anggota pasukan lain yang memberikan bantuan kepada pelarian.
“Sekolah ini telah dibom sebanyak lima kali sejak peperangan bermula. Ia menempatkan kira-kira 12,000 pelarian terutamanya wanita dan kanak-kanak,” jelas Mahmud dalam satu kenyataan di laman X.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pula mengutuk serangan itu sebagai perkara yang tidak patut berlaku.
“Enam daripada rakan sekerja kami di UNRWA adalah antara yang terbunuh. Apa yang berlaku di Gaza tidak boleh diterima.
“Pencerobohan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa ini perlu dihentikan segera,” katanya juga di platform X seperti dipetik The Guardian.
Pengarah UNRWA, Philippe Lazzarini menyatakan, kakitangan yang terkorban berkhidmat memberikan sokongan kepada keluarga yang mencari perlindungan di sekolah tersebut dan sekurang-kurangnya 220 kakitangan agensinya telah terbunuh di Gaza sejak perang bermula.
“Kakitangan kemanusiaan, premis dan operasi telah diabaikan secara terang-terangan dan berterusan sejak permulaan perang,” ujarnya. – AGENSI