KUALA NERUS: Svay Rieng FC memiliki ramuan untuk memerangkap Terengganu FC (TFC) dalam aksi Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.
Menurut ketua jurulatihnya, Josep Munoz, mereka berada dalam momentum terbaik menjuarai Piala Super iaitu kejohanan pembuka tirai di Kemboja selain mendahului liga selepas dua perlawanan.
Malah Munoz sedia mempertaruhkan kesebelasan utama termasuk ayam tambatan, Gabriel Silva dan Pablo Augusto untuk merobek pintul gol TFC di hadapan penyokong tuan rumah.
“Kejohanan ASEAN berbeza berbanding saingan domestik dan kami sedar TFC dibarisi pemain yang baik di semua posisi tetapi kualiti bola sepak Kemboja sudah meningkat.
“Ini adalah peluang untuk menunjukkan kami mampu bersaing dan bukan sekadar untuk melengkapkan jadual. Bahkan, Svay Rieng hadir dengan persiapan cukup rapi musim ini.
“Selepas menjaringkan 11 gol dalam dua perlawanan liga, kami tahu apa yang perlu dilakukan dan harus mengekalkan corak permainan tersusun,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Selain itu, Munoz mengakui perlu mengutip sekurang-kurangnya mata sebelum bertemu gergasi Thailand, BG Pathum United pada aksi berikutnya dalam Kumpulan A, bulan depan.
“Undian sedikit sukar bagi kami terutama dua perlawanan awal kumpulan di tempat lawan namun Svay Rieng FC sudah bersedia dan kini dalam moral yang terbaik untuk pertandingan ini,” katanya.
Ketua pasukan, Ryo Fujii, turut senada dengan pengendalinya dengan memberi amaran mereka tidak akan memberi laluan mudah kepada TFC untuk bermaharaja lela di tempat sendiri.
“Kami tahu TFC antara pasukan pencabar kejuaraan di Malaysia dan konsisten sejak beberapa tahun ini tetapi saya jangka perlawanan esok menarik untuk disaksikan,” ujarnya. – UTUSAN










