PETALING JAYA: Strategi di Olimpik Tokyo 2020 bakal menjadi taruhan buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk membawa pulang pingat emas negara di Sukan Olimpik Paris 2024.
Atlet berusia 36 tahun itu bertanding dalam acara pecut dan kegemarannya keirin mempunyai perancangan rapi untuk memastikan pingat emas pertama negara dapat dijelmakan di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines.
Azizulhasni sebelum ini memenangi gangsa di Olimpik Rio 2016 dan perak di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin mengakui itu adalah prospek utamanya untuk mendapatkan pingat emas pertama negara.
“Ya sudah tentu (fokus pada keirin). Secara realistik peluang saya untuk menang medal lebih di keirin tetapi walaubagaimanapun kita akan harungi pecut.
“Kalau peluang kita untuk mendapatkan emas tinggi (pecut) kita akan lakukannya tetapi kalau nampak 50-50 kita akan simpan tenaga dan fokus pada keirin,” katanya.
Ketika ini, Azizulhasni dilihat sebagai harapan tunggal negara untuk membawa pulang pingat emas negara selepas kontinjen negara berjaya mengumpul dua gangsa.
Kedua-dua gangsa diperoleh daripada kem badminton menerusi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang menewaskan pemain India, Lakshya Sen dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas menundukkan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Selepas beraksi dalam acara pecut yang dijadual berlangsung malam ini, Azizulhasni bersama rakannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan bertanding di keirin pada Sabtu ini.
Atlet trek berbasikal negara wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri pula akan beraksi dalam acara pecut pada Jumaat ini. – UTUSAN










