Paul dan Winnie takluk Piala Supra

Paul dan Winnie takluk Piala Supra

PAUL TAN (kanan)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENAI – Paul San memenangi gelaran Jelajah Toyota keduanya musim ini selepas menjulang Piala Supra di Palm Resort & Country Club, Senai, Johor hari ini.

Pemain kelahiran Miri itu merekodkan 70 pukulan, dua bawah par, menewaskan pencabar terdekatnya Kim Leun Kwang dengan kelebihan dua pukulan setelah mengumpul skor terkumpul sembilan bawah par 207 untuk tiga hari kejohanan.

Paul dan Leun Kwang masing-masing memulakan saingan pusingan terakhir hari ini terikat di tangga teratas pada tujuh bawah par, namun Paul tampil lebih cemerlang dengan mencatat empat birdie dan dua bogey.

Tiga birdie awal pada lubang ketiga, keenam dan ketujuh membolehkan Paul menjarakkan diri daripada Leun Kwang.

Leun Kwang cuba sedaya upaya untuk mengejar, namun empat birdie yang diraihnya pada lubang ketiga, kelima, ke-11 dan ke-16, langsung tidak memadai kerana dia juga tercicir empat bogey untuk berpuas hati dengan 70 pukulan.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah Paul selepas melakar kejayaan keduanya dalam tempoh tiga bulan.

Paul sebelum itu merangkul gelaran sulungnya di kejohanan Piala Vios di Templer Park Country Club di Rawang, Selangor pada Mei lalu.

“Saya berasa gembira dengan cara saya menguruskan diri saya di lapangan hari ni.

“Kebelakangan ini saya telah berusaha untuk mempertingkatkan prestasi putting saya di ‘green’, namun ia masih belum mencapai tahap yang saya mahukan. Pun begitu, aspek permainan agak padu.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua yang memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada karier profesional saya iaitu ibu bapa, teman wanita, jurulatih dan kedi. Semoga saya dapat mengekalkan momentum cemerlang ini sehingga penghujung musim,” kata Paul dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pemain veteran yang juga juara dua kali Jelajah Toyota, Danny Chia, menghabiskan kempennya berkongsi kedudukan ketiga bersama Syahiran Syakir dengan markah terkumpul 211.

Danny mencatat skor 69 manakala Syahiran melakukan 71 pukulan.

Pemain amatur A. Nateeshvar mencuri tumpuan apabila merekodkan 68 untuk menamatkan saingan terikat di posisi kelima bersama dua nama besar Galven Green dan Nicholas Fung, serta Edven Ying dengan skor keseluruhan 212.

Bagi saingan Wanita pula menyaksikan bintang amatur Winnie Ng menang bergaya dengan jurang enam pukulan mengatasi Geraldine Wong.

Winnie mencatat 70 pukulan pada pusingan terakhir untuk markah agregat 212, sekaligus menjulang kejuaraan Jelajah Toyota keduanya selepas mengungguli Piala Corolla di Kelab Golf Diraja Perak di Ipoh tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN