DHAKA: Parlimen Bangladesh dibubarkan selepas sehari Sheikh Hasina meletakkan jawatan Perdana Menteri, semalam.
Pengumuman itu dibuat oleh Pejabat Presiden Bangladesh dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Perkembangan itu dibuat beberapa jam selepas Ketua Protes Pelajar menetapkan tempoh masa untuk pembubaran Parlimen dan memberikan amaran jika perkara itu tidak dipenuhi, kata Reuters.
Dalam pada itu, hampir 25 orang terbunuh dan lebih 150 dimasukkan ke hospital selepas penunjuk perasaan membakar sebuah hotel di barat daya Bangladesh, lapor Sputnik hari ini, memetik media tempatan.
Angka kematian akibat kebakaran di Hotel Antarabangsa Zabeer di bandar Jashore mencecah 25 orang, lapor The Daily Star, memetik Abdul Kadir, seorang pegawai Perkhidmatan Bomba dan Pertahanan Awam Bangladesh, yang juga berkata bahawa penunjuk perasaan membakar hotel itu sekitar 1005 GMT pada Isnin.
Api dipadamkan pada 2345 GMT, tambahnya.
Kemudian pada hari itu, akhbar Dhaka Tribune melaporkan bahawa lebih 150 orang telah dimasukkan ke hospital tempatan berikutan kebakaran itu.-AGENSI










