VERONA: Juventus mengekalkan rentak kemenangan mereka dalam Serie A dengan mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Hellas Verona di Stadio Marcantonio Bentegodi, hari ini.
Pengurus Juventus, Thiago Motta memuji sikap dan usaha berpasukan yang ditunjukkan oleh anak buahnya dalam perlawanan tersebut.
Motta menganggap usaha berterusan oleh pemain dalam menekan lawan sebagai kunci kejayaan mereka.
“Sikap kumpulan dapat dilihat dari cara mereka menekan lawan. Mereka mengambil risiko, tetapi kejayaan dalam mengawal bola adalah kelebihan besar,” kata Motta.
Penyerang Juventus, Dusan Vlahovic memainkan peranan utama dengan menjaringkan dua gol.
Motta memuji Vlahovic sebagai ketua yang positif dan mengharapkan pemain Serbia itu meneruskan prestasi cemerlangnya.
“Dia seorang pemain yang tahu menjaringkan gol dan kami memerlukan semua pemain untuk bekerja keras,” kata Motta.
Vlahovic, yang menjaringkan gol pertamanya di Serie A sejak April, mengungkapkan kepuasan dengan prestasi pasukan.
“Saya gembira dengan kemenangan ini dan sikap pasukan. Keputusan ini adalah hasil kerja keras kami,” ujar Vlahovic. – AGENSI










