PARIS: Perenang Perancis, Leon Marchand menyifatkan dia menghadapi minggu sempurna selepas memenangi pingat emas keempatnya dalam Olimpik Paris apabila melakar kemenangan meyakinkan bagi acara 200 meter (m) medley individu lelaki di hadapan penyokong sendiri.
Marchand menjadi atlet pertama Perancis memenangi empat pingat emas dalam acara individu lelaki dalam satu edisi Sukan Olimpik selepas perenang Amerika Syarikat (AS), Michael Phelps melakukannya di Beijing 2008.
Marchand melakukan catatan masa satu minit 54.06 saat (s) menjadi masa kedua terpantas dalam sejarah dan rekod Olimpik manakala perak dimenangi Duncan Scott dari Britain (1:55.31s) dan gangsa milik Shun Wang dari China (1:56.00s).
Kejayaannya itu turut disaksikan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang turut meraikan kejayaan atlet berusia 22 tahun itu.
“Saya rasa tiada apa yang tidak kena minggu ini. Ia sempurna,” kata Marchand yang tersenyum lebar setelah peminat menyanyikan La Marseillaise.
Marchand telah pun meraih emas dalam acara 200m kupu-kupu, 200m kuak dada dan 400m medley individu, menjadikannya pilihan utama pada perlumbaan semalam.
Juara bertahan, Wang mendahului perlumbaan selepas disiplin kupu-kupu namun Marchand memintasnya ketika kuak dada.
Marchand dilatih oleh bekas jurulatih Phelps, Bob Bowman dan warga AS itu turut menghamburkan pujian kepada anak buahnya selepas mempamerkan prestasi menakjubkan.
“Kejayaan yang lengkap daripada sudut pandangan saya. Dia 100 peratus berjaya. Saya sangat berbangga dengannya. Banyak usaha dilakukan untuk menjadi sempurna,” kata Bowman. – AFP










