PETALING JAYA: Kekalahan besar 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka peluang untuk Selangor FC memperbaiki pasukan untuk menjadi kelab yang boleh mencabar kejuaraan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, para pemain telah memberikan yang terbaik dalam aksi final Piala FA, namun perlu diakui JDT lebih berpengalaman.
“Sudah pasti pengalaman yang dimiliki JDT membuatkan mereka lebih selesa bermain di final, Selangor kena belajar untuk perbaiki kekurangan untuk perlawanan akan datang.
“Rata-rata pemain sudah memberikan yang terbaik, sudah tentu kita kecewa kerana tidak berjaya berikan sesuatu yang istimewa buat peminat yang ternanti-nanti perlawanan ini.
“Kita akan bekerja keras dan cuba lagi dalam perlawanan akan datang termasuk Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Maaf buat peminat kerana kita gagal beri keputusan lebih baik kali ini,” kata Johan ketika ditemui selepas aksi final Piala FA, kelmarin.
Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad kendalian Nidzam Jamil terpaksa akur dengan kehebatan Harimau Selatan yang menjulang Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.
Selangor akan menyambung semula perjalanan Liga Super pada 13 September ini menentang Kuching City di laman sendiri, manakala JDT akan menerima kunjungan Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim.
Liga Malaysia (Liga M) akan berhenti rehat seketika bagi memberi ruang kepada Harimau Malaya untuk beraksi di Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung pada 4 dan 8 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.-UTUSAN










