MONCHENGLADBACH: Florian Wirtz muncul wira Bayer Leverkusen apabila meledak gol kemenangan untuk menewaskan Borussia Moenchengladbach 3-2 dalam aksi pembukaan Bundesliga, hari ini.
Skuad kendalian Xabi Alonso terlebih dahulu berada di depan masing-masing hasil jaringan Granit Xhaka pada minit ke-12 dan pemain tengah Jerman, Wirtz pada minit ke-38.
Bagaimanapun, pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan selepas rehat apabila Nico Elvedi dan Tim Kleindienst masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-59 dan minit ke-85.
Ketika permainan seakan-akan berkesudahan seri 2-2, Wirtz memastikan tiga mata berharga untuk dibawa pulang apabila meledak gol pada masa tambahan.
“Kami bermula dengan baik pada babak pertama malah dominan. Kami berbincang ketika rehat kami tidak mahu lawan merampas rentak permainan.
“Mereka bangkit menyamakan kedudukan namun kami membuktikan kami mempunyai mentaliti untuk menang dan kami bawa pulang tiga mata ke Leverkusen daripada aksi sukar di tempat lawan,” kata pemain tengah Leverkusen, Granit Xhaka.
Dalam pada itu, jurulatih Leverkusen, Xabi Alonso mengakui kehilangan kata-kata selepas melihat semangat juang yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.
“Saya tidak perlu menjelaskan apa-apa. Ini bola sepak. Ia selalu berlaku kepada kami,” kata Alonso.
Wirtz, 21, berkata dia gembira apabila diberi tanggungjawab untuk mengambil sepakan bola mati malah mengakui mahu menamatkan permainan dengan kemenangan.
“Saya tahu pada hujung permainan nasib menyebelahi kami namun saya tidak mahu merungut. Kami gembira kerana akhirnya kami menang,” katanya. – AFP










