WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, dalam temu bual televisyen pertamanya sejak menarik diri dari Pilihan Raya Presiden mendedahkan, beliau berbuat demikian atas desakan ahli partinya selain mahu memastikan kekalahan calon Parti Republikan, Donald Trump.
Biden menjelaskan keputusannya untuk bertanding mendatangkan kebimbangan dalam kalangan anggota parti yang beranggapan beliau akan merosakkan peluang Parti Demokrat susulan keupayaannya yang menjadi perbualan utama kempen.
“Beberapa rakan parti di Dewan Perwakilan dan Senat bimbang saya akan merosakkan peluang kemenangan jika terus bertanding.
“Saya juga beranggapan sama, namun saya tidak sakit seperti yang digembar-gemburkan,” katanya dalam temu bual ringkas di White House minggu lalu yang disiarkan di televisyen.
Tambahnya, beliau mempunyai tanggungjawab kepada negara iaitu memastikan kekalahan Trump.
Beliau pada masa sama turut menyatakan sokongan kepada Naib Presidennya, Kamala Harris dan berikrar akan berkempen untuk pemimpin wanita itu.
Biden, 81, kurang menonjolkan diri sejak berundur daripada Pilihan Raya Presiden selepas prestasi debatnya yang lemah menentang Trump mencetuskan kebimbangan anggota parti Demokrat berhubung cubaannya mengekalkan jawatan Presiden.
Harapan Parti Demokrat untuk melihat Harris dan calon Naib Presidennya, Tim Walz menang kini terbuka luas selepas menerima sokongan rakyat AS yang dilihat kurang menyokong Trump. – AGENSI










