PARIS: Petinju Ireland, Kellie Harrington mengumumkan persaraannya daripada sukan tinju selepas mempertahankan pingat emas di Sukan Olimpik Paris.
Harrington, 34, membuat keputusan itu selepas menewaskan Yang Wenlu dari China menerusi keputusan juri dalam final kategori 60 kilogram (kg) wanita.
Kemenangan tersebut menjadikan Harrington sebagai petinju Ireland pertama yang memenangi pingat emas dua kali berturut-turut selepas melakukannya di Olimpik Tokyo.
“Apabila anda sampai ke puncak gunung, cari gunung yang lebih besar dan itulah yang saya lakukan. Bukan mudah untuk mendaki gunung itu.
“Sudah tiga tahun saya lalui masa yang sukar. Jadi saya memutuskan bahawa pingat ini adalah untuk diri sendiri. Saya sangat gembira,” kata Harrington kepada pemberita.
Harrington berkata dia bakal menjalani kehidupan seperti biasa selepas impiannya tercapai untuk meraih pingat emas di Paris.
“Tiada gunung lagi. Bab seterusnya adalah kehidupan saya dan ia adalah untuk saya. Sudah semestinya saya tidak sabar untuk menjalaninya,” katanya. – AGENSI










