Filipina, Vietnam mulakan latihan bersama pertama di Teluk Manila - Utusan Malaysia

Filipina, Vietnam mulakan latihan bersama pertama di Teluk Manila

VIETNAM dan Filipina mengadakan latihan bersama pertama di Teluk Manila.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Filipina dan Vietnam akan memulakan latihan pengawal pantai bersama di Teluk Manila minggu ini, selaras dengan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama maritim.

Latihan pada 9 Ogos ini adalah yang pertama antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu, yang mempunyai tuntutan bertindih terhadap beberapa bahagian Laut China Selatan dan bertembung dengan pengawal pantai China di perairan yang dipertikaikan tersebut.

Semasa lawatan rasmi ke Hanoi oleh Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr pada Januari lalu, Manila dan Vietnam menandatangani dua perjanjian untuk meningkatkan kerjasama antara pengawal pantai mereka dan untuk mencegah insiden tidak diingini di Laut China Selatan.

Kapal Vietnam sepanjang 90 meter, CSB 8002, tiba di pelabuhan Manila hari ini untuk panggilan pelabuhan selama hari.

Jurucakap Pengawal Pantai Filipina (PCG), Armando Balilo berkata, ia akan menjalani latihan bersama dengan kapal peronda luar pesisir Filipina 83 meter, BRP Gabriela Silang pada Jumaat.

Katanya, latihan itu memberi tumpuan kepada mencari dan menyelamat serta pencegahan kebakaran dan letupan.

“Walaupun terdapat persaingan, (Filipina dan Vietnam) juga merupakan penuntut di Laut Filipina Barat, ini menunjukkan bahawa kita boleh bekerjasama.

“Mudah-mudahan ini akan memulakan satu contoh yang boleh digunakan, bahkan dengan China, untuk meredakan keadaan,” katanya.

Manila merujuk kepada perairan di dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) sebagai Laut Filipina Barat.

Filipina dan Vietnam mengemukakan tuntutan berasingan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap pelantar benua untuk mengiktiraf hak mereka melangkaui zon ekonomi eksklusif di Laut China Selatan.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk bahagian yang dituntut oleh Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN