MADRID: Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone memberi pujian kepada pemain baharu, Julian Alvarez dan menjangkakan perkara hebat daripada penyerang Argentina berusia 24 tahun itu.
Alvarez menyertai Atletico pada minggu lalu selepas kelab Sepanyol itu membayar 75 juta euro (RM366 juta) kepada Manchester City, Simeone berkata pemain itu akan diturunkan menentang Villarreal awal pagi esok (waktu Malaysia).
“Julian (Alvarez) adalah pemain yang kami semua tidak sabar untuk melihatnya dan yang akan membantu kami untuk menjadi lebih baik.
“Semuanya berlaku dengan sangat tiba-tiba, begitu cepat. Dia baru sahaja tiba beberapa hari lalu, telah berlatih selama empat hari tetapi telah menyesuaikan diri dengan pantas.
“Tetapi saya melihat dia mempunyai semangat, mengetahui dari mana dia datang dan memahami ke mana dia akan pergi,” kata Simeone
Rundingan bagi mendapatkan pemain tengah Chelsea, Conor Gallagher masih berjalan, Simeone berkata pasukannya perlu membawa masuk lebih banyak pemain untuk bersaing dengan Real Madrid, kelab yang memenangi Liga Juara-Juara dan La Liga musim lalu.
“Real Madrid memulakan musim ini sebagai pasukan terbaik dan akan membuktikannya dengan pemain-pemain hebat yang mereka miliki, sementara kami yang lain akan berada di belakang untuk bersaing dengan mereka.
“Kami masih belum menutup skuad, namun kami perlu fokus perlawanan esok (menentang Villarreal) dan melihat kemajuan pasukan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Barcenola terus memiliki pasukan yang bagus, Real berkembang dengan pemain yang hebat tetapi jelas bagi saya adalah untuk memikirkan diri kami sendiri,” kata Simeone. – AGENSI










