PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan kata-kata semangat kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.
“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet-atlet negara yang akan bertanding pada Sukan Olimpik 2024.
“Bersama-sama kita mendoakan kecemerlangan buat atlet-atlet yang mewakili negara ke temasya Olimpik dan Paralimpik,” titah Seri Paduka Baginda di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di Istana Negara, hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shariman, .
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. K. Nagulendran, ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik, Datuk Hamidin Mohd Amin dan ketua kontinjen negara ke Sukan Paralimpik, Datuk Subramanian Raman Nair.
Seramai 25 atlet yang mewakili negara akan berjuang di Sukan Olimpik pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini dan 20 atlet para di Sukan Paralimpik pada 28 Ogos hingga 8 September.
Sukan Olimpik Paris 2024 akan membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos, manakala Sukan Paralimpik bermula pada 28 Ogos hingga 8 September ini. – UTUSAN










