KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat pembinaan menyebabkan mangsa kerugian hampir RM1 juta, enam tahun lepas.
Tertuduh, Remyrizal @ Wellen Remy Rizal, 43, dan pasangan adik beradik iaitu I. Kumara, 53, dan I. Sumathi, 49, yang merupakan pengarah Aston Villa Sdn. Bhd., mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama menipu Pengarah MZMA Construction Sdn. Bhd., Hin Aik Kwang, 48, dan menyalahgunakan wang RM987,084.17 milik syarikat itu dalam urusan mendapatkan projek pembinaan pangsapuri di Kampung Sungai Penchala.
Kesemua tertuduh juga didakwa telah memperdaya mangsa akan mencagarkan satu lot tanah milik Aston Villa sekiranya projek tersebut tidak berjaya sedangkan lot tanah itu dicagarkan kepada sebuah bank pada 2013.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Scott, Brickfields di sini sekitar 2018 dan mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Johar tidak menawarkan jaminan kepada ketiga-tiga tertuduh, tetapi peguam bela, Dhiyaulhaq Mohd. Arifin yang mewakili Remyrizal memohon jaminan diberikan dengan alasan anak guamnya yang menghidap penyakit jantung memerlukan rawatan susulan di Institut Jantung Negara.
Peguam M. Manoharan yang mewakili Kumara dan Sumathi turut memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya menanggung keluarga.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN










