KOTA BHARU: Saf kejurulatihan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) berharap tiga pemain import antarabangsa boleh dibawa masuk oleh pihak pengurusan kelab bola sepak berpangkalan di Kota Bharu itu pada jendela perpindahan kedua nanti.
Penolong ketua jurulatihnya, Rezal Zambery Yahya berkata, pasukan KDN FC perlu membuat pembaharuan dan bahagian paling kritikal pada ketika ini adalah di posisi penyerang.
“Sudah ada perbincangan antara pihak jurulatih dan pengurusan untuk menukar beberapa pemain import terutama di bahagian serangan kerana kita dapat lihat begitu sukar untuk kita menjaringkan gol pada setiap perlawanan.
“Untuk memenangi perlawanan kita perlu menjaringkan gol dan kalau ikut perancangan, saya mahu ketiga-tiga pemain import antarabangsa yang bakal dibawa masuk merupakan penyerang tulen,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Beliau menegaskan, sungguhpun KDN FC mampu mencipta peluang dan mempunyai gaya permainan tetapi itu semua tidak memberi apa-apa makna sekiranya jentera serangan melepaskan setiap peluang yang diperoleh.
“Itu antara perkara yang kita bincangkan dan saya rasa akan ada perubahan apabila jendela perpindahan kedua dibuka nanti. Di posisi tengah kita sudah ada Oday Kharoub yang cemerlang pada setiap perlawanan.
“Di posisi pertahanan pula kita sudah ada Michal Jerabek dan Kim Likwan manakala untuk pemain tengah bertahan, saya lebih suka memberi peluang kepada pemain tempatan untuk mengisi posisi itu,” katanya.
Ditanya mengenai status Chadrack Muzungu Lukombe, Rezal Zambery memaklumkan penyerang import dari Republik Congo itu masih lagi bersama KDN FC dan sentiasa hadir pada setiap sesi latihan pasukan.
Menurutnya, bahagian kejurulatihan sentiasa memantau perkembangan pemain tersebut namun keputusan untuk berada dalam senarai 20 pemain dalam setiap perlawanan adalah bergantung kepada prestasi semasa dan taktikal pasukan.
“Memang kita mahu Muzungu berada dalam senarai itu tetapi dahulu netizen juga mengatakan dia tidak bagus dan sebagainya. Bagaimanapun jurulatih tahu siapa patut disenaraikan dan sebaliknya, tambahan pula Muzungu masih dalam proses pemulihan,” katanya.
Mengulas perlawanan malam tadi yang menyaksika KDN FC tewas 1-3 kepada Perak FC, Rezal menekankan aspek disiplin taktikal perlu diperkemaskan terutama pergerakan ketika membuat ‘pressing’ dan sebagainya perlu melibatkan semua pemain dan bukan hanya satu atau dua individu sahaja.
“Perbezaan semalam adalah pasukan Perak lebih banyak melakukan pergerakan berbanding kita yang dilihat lebih ramai berada dalam keadaan statik. Apa pun, Perak bermain dengan baik dan kita perlu terima kekalahan ini serta cuba bangkit kembali,” ujarnya. – UTUSAN










