KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini memakai lilitan riben putih pada lengan kiri masing-masing dalam persidangan Dewan Rakyat.
Ia sebagai protes terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang membuat keputusan berhubung kerusi enam wakil rakyat bekas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak kosong meskipun telah melanggar peraturan parti.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) pada sesi jawab lisan dengan merujuk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan berhubung pertukaran parti politik anggota Dewan Rakyat.
“Riben Putih di lengan kiri sebagai protes berlakunya ‘reformati’, spesifik merujuk kepada (Perkara) 49A. Soalan Masjid Tanah sudah beri, mohon jawapan menteri,” katanya menerusi pantun ketika mengutarakan soalan kedua bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehingga kini, PN mempunyai 68 ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mewakili Bersatu dan PAS.
Untuk rekod, enam wakil rakyat yang melanggar peraturan parti Bersatu sebelum ini adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Semua wakil rakyat itu telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan masih konsisten sehingga ke hari ini. – UTUSAN










