SOALAN
Isteri saya seorang yang mudah naik angin, kasar dan keras kepala. Saya risau sikap itu mempengaruhi kehidupan anak-anak. Saya menasihatinya agar berubah, namun tidak dihiraukan. Apa yang perlu saya lakukan?
SUAMI BUNTU
JAWAPAN
Isteri atau ibu sinonim dengan sikap lemah lembut. Memiliki mereka yang penuh kelembutan dan kasih sayang merupakan anugerah untuk suami dan anak-anak.
Namun, realiti dalam kehidupan jelas menunjukkan setiap individu akan melalui pengalaman hidup berbeza.
Persekitaran dan didikan keluarga mempengaruhi kehidupan individu. Sebagai suami dan ketua keluarga, anda harus bersikap matang dan sabar dalam menghadapi situasi ini.
Daripada sudut psikologi, isteri akan rasa lebih dihargai dan lebih disayangi ketika mana suami tahu menghargai dirinya.
Menghadapi situasi ini memerlukan pendekatan bijaksana dan penuh hikmah.
Langkah ini boleh dipertimbangkan:
A) Komunikasi terbuka – Ajak isteri untuk berbincang. Pastikan perbincangan dalam keadaan tenang, santai dan tiada gangguan daripada anak-anak. Nyatakan perasaan dan kebimbangan anda dengan sikap isteri terhadap anak-anak tanpa menyalahkan atau menuduhnya. Fokus pada bagaimana cara untuk kalian bekerjasama demi kepentingan anak-anak.
B) Terapi pasangan – Dapatkan bantuan kaunselor atau menyertai seminar kekeluargaan yang boleh memberi panduan dan strategi menangani isu-isu komunikasi
dan tingkah laku yang anda alami.
C) Konsistensi dalam disiplin dan pendidikan anak – Pastikan anda memainkan peranan aktif dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai positif. Jadilah teladan yang baik untuk mereka dengan menunjukkan sikap sabar, hormat dan empati.
D) Pengurusan diri – Fokus untuk memperbaiki hubungan suami isteri. Ibu bapa yang baik pasti dapat mendidik anak-anak dengan baik. Pelajari ilmu sayang diri, pengurusan emosi
dan perbanyakkan aktiviti bersama keluarga untuk mengeratkan kasih sayang.
E) Didik anak-anak tentang emosi dan perilaku – Bantu anak-anak memahami emosi dan ajarkan mereka cara untuk menguruskan emosi secara sihat. Ini boleh membantu mereka membentuk tingkah laku positif meskipun terdedah kepada sikap negatif.
F) Pertimbangkan keadaan jangka panjang – Jika usaha-usaha di atas tidak berjaya dan situasi semakin buruk, anda perlu mempertimbangkan pilihan yang lebih drastik demi kesejahteraan anak-anak.
Setiap perubahan pasti memerlukan masa dan kesabaran. Usaha untuk membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang penuh kasih sayang. Jangan ragu-ragu untuk mendapatkan bantuan profesional. Hidup berkeluarga bukannya soal siapa menang dan kalah. Ia berkaitan dengan toleransi dan rasa hormat sesama kita.
Sayangilah keluarga, semaikanlah ciri-ciri sakinah (ketenangan) dan mawaddah (berkasih sayang) dalam keluarga supaya sentiasa dirahmati serta diberkati Allah
SWT.










